Ayat Tanya terbahagi kepada dua kategori iaitu :
1. Ayat Tanya Tanpa Kata Tanya
2. Ayat Tanya dengan Unsur Tanya.
1. Ayat Tanya Tanpa Kata Tanya
Ayat yang lazimnya diucapkan dengan nada suara meninggi sebelum kesenyapan pada akhir ayat.
Sekiranya di dalam penulisan , nada tanya ini dilambangkan oleh tanda soal (?).
Contoh:-
Encik Adam pengurus syarikat itu?
Catatan:-
Ayat tanya jenis ini juga boleh disertai partikel tanya -kah yang diletakkan pada predikat ayat. Sekiranya hal ini berlaku, bahagian yang menerima partikel -kah itu mengalami proses pendepanan.
Contoh:-
Ke Melakakah kamu minggu lalu?
Konstituen yang dijadikan fokus diikuti oleh -kah + Subjek + unsur predikat lain (jika ada)
Contoh:-
Konstituen yang dijadikan fokus diikuti oleh -kah | Subjek | unsur predikat lain (jika ada) |
i) Ke sekolahkah | Dia | - |
ii) Ke Melakakah | Kamu | Minggu lalu |
Tetapi, subjek tidak boleh mempunyai partikel -kah sekiranya mengalami proses pendepanan ayat.
Contoh:-
Encik Alikah guru itu? –salah
Ayat yang mempunyai kata hubung relatif (yang) ada pendepanan partikel -kah
Contoh:-
Diakah yang ke sekolah?
Ayat- ayat yang pasif seperti yang ternyata
Contoh:-
a) Surat itu ditulis oleh Ahmad.
b) Surat itu ditulis oleh Ahmad ?
c) Ditulis oleh Ahmadkah surat itu?
Contoh kesalahan:-
salah- Ahmadkah tulis surat itu?
betul- Ditulis oleh Ahmadkah surat itu?
2. Ayat Tanya dengan Unsur Tanya
Ayat tanya yang mengandungi unsur seperti apa, siapa, mengapa, bagaimana, di mana dan sejak. Ayat tanya jenis ini tergolong daripada tiga golongan.
a) Ayat tanya dengan kata tanya- ayat yang mengandungi kata tanya seperti beberapa, bagaimana, bila, mengapa dan kenapa. Kata tanya menduduki unsur predikat seperti:-
Contoh susunan biasa:-
i. Harga barang ini berapa?
ii. Hari perkahwinannya bila?
iii. Awak datang lambat kenapa?
Mengalami proses pendepanan untuk hasilkan ayat yang berikut:-
Contoh:-
i. Berapa harga barang ini?
ii. Bila hari perkahwinannya?
iii. Kenapa awak datang lambat?
Sekiranya bahasa lisan, ia mestilah memerlukan partikel -kah.
Contoh:-
i. Berapakah harga barang ini?
ii. Bilakah hari perkahwinannya?
iii. Kenapakah awak datang lambat?
b) Ayat tanya dengan kata ganti nama diri tanya- ayat yang mengandungi kata ganti nama tanya seperti apa, siapa, mana.
Kata ganti nama tanya menduduki bahagian predikat.
Contoh susunan biasa:-
i. Benda itu apa?
ii. Dia itu siapa?
iii. Budak itu mana?
Mengalami proses pendepanan predikat.
Contoh:-
i. Apa benda itu?
ii. Siapa dia itu?
iii. Mana budak itu?
Sekiranya bahasa lisan, ia mestilah memerlukan partikel -kah.
Contoh:-
i. Apakah benda itu?
ii. Siapakah dia itu?
iii. Manakah budak itu?
Ayat tanya jenis ini juga boleh wujud dalam ayat pasif.
Contoh:-
Apakah yang kamu buat?
Contoh kesalahan:-
salah- Apa nama kamu?
betul- Siapa nama kamu?
c) Ayat tanya dengan frasa sendi nama tanya- ayat yang didahului oleh frasa sendi nama tanya seperti di mana, dari mana, ke mana, sejak bila, dengan siapa, daripada siapa dan sebagainya.
Frasa sendi nama tanya hadir dalam predikat.
Contoh susunan biasa:-
i. Tuan tinggal di mana?
ii. Ali hendak ke mana?
iii. Kamu menetap di kampung ini sejak bila?
Proses pendepanan predikat dengan partikel -kah.
Contoh:-
i. Di manakah tuan tinggal?
ii. Ke manakah Ali hendak pergi?
iii. Sejak bilakah kamu menetap di kampung ini?
Contoh kesalahan penggunaan ayat :-
Daripada manakah pelancong itu datang? - salah
Dari manakah pelancong itu datang? - betul
3. Ayat Tanya Terbuka Dan Ayat Tanya Tertutup.
a) Ayat tanya tertutup- ayat yang memerlukan jawapan ya, tidak atau bukan.
Contoh:-
Soalan- Puan Siti pengurusnya?
Jawapan- Ya, Puan Siti pengurusnya.
b) Ayat tanya terbuka- ayat tanya yang jawapan tidak terhad kepada prkataan ya, tidak atau bukan. Tetapi sebaliknya bergantung kepada maksud yang terkandung dalam ayat tanya tersebut.
Contoh :-
Soalan- Dari manakah pelancong itu datang?
Jawapan-Pelancong itu datang dari Korea.
Tetapi, ada juga dalam kalangan pelajar yang menjawab soalan tidak mengikut kehendak soalan.
Contoh kesalahan penggunaan ayat :-
Soalan : Kamu datang lewat?
Jawapan : Saya datang lewat kerana ketinggalan bas.
Pembetulan:-
Soalan : Kamu datang lewat?
Jawapan : Ya saya terlewat.
Sekiranya ditanya dengan ayat tanya terbuka, mestilah dijawab selain ya/tidak atau bukan
Soalan : Kenapa kamu datang lewat?
Jawapan : Saya datang lewat kerana ketinggalan bas.
LATIHAN :
Tuliskan jenis ayat tanya yang sesuai dalam kurungan dibawah:
1) Apa yang kamu dapat pelajari daripada pelajaran ini?
(..........................)
2) Dari manakah kamu bertiga datang?
(..........................)
3) Bola itu disepak oleh Shahrul?
(..........................)
4) Sejak bilakah kamu tinggal di kampung ini?
(..........................)
5) Berapakah harga basikal ini?
(.........................)
No comments:
Post a Comment