Ayat yang terdiri daripada ayat induk dan satu atau beberapa ayat kecil yang dipancangkan atau disisipkan ke dalam ayat induk.
Contoh : Rahmat sedang membaca novel yang dipinjam daripada kawannya.
a) Rahmat sedang membaca novel. (Ayat induk)
b) Rahmat meminjam novel itu daripada kawannya.
(Ayat kecil relatif)Terdapat 3 jenis ayat majmuk pancangan, iaitu :
a) Ayat Majmuk Pancangan Relatif
Ayat yang dipancangkan dalam ayat induk dengan menggunakan kata hubung ‘yang’ untuk meluaskan lagi makna orang, benda atau perkara yang berkaitan.
Contoh :
i. Munirah tinggal di suatu daerah terpencil yang jaraknya lebih kurang 15 kilometer dari sini.
ii. Fariza membeli kasut yang berharga RM 60.00
b) Ayat Majmuk Pancangan Komplemen
Ayat yang dipancangkan dalam ayat induk sebagai unsur pelengkap. Biasanya dihubungkan dengan ayat induk melalui kata hubung komplemen ‘bahawa’ dan 'untuk'.
Jenis ayat komplemen
1. Ayat komplemen frasa nama (subjek dan objek)
2. Ayat komplemen frasa kerja
3. Ayat komplemen frasa adjektif
Contoh :
i. Untuk dia mendapat tempat pertama dalam peperiksaan itu memang susah.(ayat komplemen frasa nama subjek)
ii. Berita itu menyebut bahawa semua penumpang terselamat dalam kemalangan itu.
(ayat komplemen frasa nama objek)
iii. Saya berpendapat bahawa cadangan itu boleh diterima.
(ayat komplemen frasa kerja)
iv. Saya sangat yakin bahawa dia akan berjaya.
(ayat komplemen frasa adjektif)
c) Ayat Majmuk Pancangan Keterangan
Ayat yang terdiri daripada ayat induk dan satu ayat kecil yang berfungsi sebagai keterangan dalam predikat.
Terdapat 9 jenis ayat keterangan iaitu :
Jenis-jenis Ayat Keterangan | Kata Keterangan | Ayat Contoh |
Keterangan musabab | kerana lantaran sebab | Saya tidak dapat hadir kerana saya kurang sihat. Suhaimi berjaya dalam peperiksaan itu lantaran usahanya yang bersungguh-sungguh. Izzat pulang ke Sabah sebab dia merindui keluarganya |
Keterangan akibat | hingga sehingga | Dia bersorak terlalu kuat hingga serak suaranya. Pelajar itu berusaha bersungguh-sungguh sehingga ia berjaya. |
Keterangan syarat | sekiranya andai kata jika | Sekiranya saya lulus peperiksaan ini, saya akan berpuasa sepuluh hari. Andai kata mereka menyerang, kita akan bertahan bersungguh-sungguh. Jika diizinkan Tuhan, kami akan datang lagi minggu hadapan. |
Keterangan waktu | sejak setelah sementara tatkala | Zaidi bercita-cita menjadi jurutera sejak dari kecil lagi. Polis segera tiba setelah mendapat maklumat tentang pergaduhan itu. Sementara menunggu padi masak, Pak Abu menanam jagung di sekitar kawasan rumahnya. Tatkala hujan turun, mereka masih di sawah |
Keterangan pertentangan | sungguhpun sedangkan sekalipun kendatipun | Sungguhpun badannya letih, Ali tetap menghadiri majlis perayaan itu. Mereka berpindah juga ke bandar sedangkan hati mereka masih di desa. Sekalipun sudah berumur, dia masih ingin belajar juga. Kendatipun pahlawan itu telah terkena tikaman, dia terus melawan musuhnya. |
Keterangan harapan | agar moga-moga kalau-kalau | Kita mesti bertolak ansur agar semua pihak berpuas hati. Kami berdoa moga-moga kamu selamat pergi dan selamat kembali. Cuba bertanya pada orang tua itu kalau-kalau dia mengetahuinya. |
Keterangan cara | dengan | Pemuda itu datang dengan menaiki kereta api |
Keterangan tujuan | untuk demi | Puan Rahmah membeli kamus itu untuk rujukannya sendiri. Demi menyatukan rakyat yang berbilang kaum, sebuah jabatan khusus telah ditubuhkan. |
Keterangan perbandingan | seperti seolah-olah semacam | Hatinya hancur seperti kaca terhempas ke batu. Syamsul belajar berterus-terusan seolah-olah dia akan menghadapi peperiksaan pada keesokan harinya. Dia meracau-racau semacam orang yang dirasuk hantu. |
KESALAHAN DALAM AYAT PANCANGAN
1) Kerajaan berusaha mengatasi masalah setinggan dalam kalangan penduduk bandar. Х
Kerajaan berusaha untuk mengatasi masalah setinggan dalam kalangan penduduk bandar. √
2) Dia yakin dia akan berjaya –salah. Х
Dia yakin bahawa dia akan berjaya. √
3) Saya berdoa anda lulus peperiksaan dengan cemerlang. Х
Saya berdoa agar anda lulus peperiksaan dengan cemerlang. √
4) Saya diberitahu yang bapanya telah meninggal dunia. Х
Saya diberitahu bahawa bapanya telah meninggal dunia. √
5) Kereta itu yang berwarna merah terbiar di tepi jalan. Х
Kereta yang berwarna merah itu terbiar di tepi jalan. √
‘Oleh kerana’ dalam ayat ini tidak boleh digunakan. ‘Oleh’ merupakan kata sendi nama. Selepas oleh hendaklah diikuti dengan kata nama. Perkataan ’kerana’ merupakan kata hubung. Jadi ’kerana’ tidak boleh diikuti selepas ’oleh’. Perkataan ’sebab’ boleh menjadi kata hubung dan kata nama.Jadi, oleh sebab hendaklah digunakan, bukan oleh kerana.
No comments:
Post a Comment